Tuesday, September 02, 2008

Melayu oh melayu...

Sedihnya bila terbaca berita ini. Statistik dari Kementerian Dalam Negeri. Selepas 51 tahun kemerdekaan, ke mana hala anak bangsa kita???

Melayu tahanan tertinggi di pusat pemulihan, penjara. (Harian Metro Isnin 25 Ogos 2008)

KUALA LUMPUR: Tahanan berbangsa Melayu menjadi kaum tertinggi yang sedang menjalani hukuman dan ditahan di beberapa institusi pemulihan dan penahanan di bawah pengurusan Jabatan Penjara.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Heung, berkata jumlah keseluruhan penghuni yang berada di semua institusi Jabatan Penjara di seluruh negara adalah 39,961 orang.
“Terdapat empat kategori institusi pemulihan dan penahanan di bawah pengurusan Jabatan Penjara iaitu penjara, pusat pemulihan akhlak, tempat tahanan perlindungan dan Sekolah Henry Gurney.
“Daripada jumlah keseluruhan penghuni di semua institusi tersebut, seramai 37,717 orang banduan sedang ditahan atau menjalani hukuman di 29 buah penjara,” katanya menjawab soalan Dr P Ramasamy (DAP-Batu Kawan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Chor berkata daripada jumlah itu, 14,057 terdiri daripada kaum Melayu; 3,482 daripada kaum Cina; 3,429 (India), 1,742 kaum lain manakala 15,007 pula tahanan warga asing.
Beliau berkata kaum Melayu mencatatkan bilangan tertinggi di pusat pemulihan akhlak yang ditahan di bawah Undang-Undang Pencegahan Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 iaitu seramai 681 tahanan Melayu daripada jumlah keseluruhan 1,763 penghuni.
Penghuni daripada kaum India pula seramai 508 orang, 344 orang daripada kaum Cina, 76 daripada kaum lain manakala 154 pula tahanan warga asing.
“Daripada jumlah keseluruhan tahanan yang sedang ditahan di tempat tahanan perlindungan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 iaitu 68 orang, 24 orang terdiri dari kaum Melayu, tujuh (India), empat (Cina) dan 33 tahanan warga asing,” katanya.
Beliau berkata seramai 262 penghuni di Sekolah Henry Gurney terdiri daripada kaum Melayu, 11 orang kaum Cina, 38 orang kaum India, 91 kaum lain dan 11 penghuni warga asing daripada jumlah keseluruhan penghuni seramai 413 orang. – Bernama

0 komen: